"Jika ingin melihat negara pada masa hadapan, lihatlah remaja pada masa kini" Itu adalah antara kata-kata yang sering dilontarkan oleh masyarakat kita. Adakah kita sedar bahawa remaja pada zaman sekarang kurang semangat patriotik di dalam diri mereka? Ini disebabkan oleh peredaran masa pada zaman kini. Teknologi canggih semakin banyak dilahirkan. Pada zaman ini kanak-kanak dari umur kecil hingga dewasa mereka leka dengan teknologi terkini.
Setiap remaja yang berwawasan, mereka perlu sedar peranan mereka sebagai pelapis pemimpin negara. Remaja berwawasan ini perlu gigih dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam diri mereka sendiri dengan cara menjadikan buku-buku sejarah sebagai bacaan tambahan mereka selain daripada buku-buku pelajaran. Mereka juga perlu lebih giat dalam menghayati syair-syair dan puisi tentang patriotisme bagi menyemai semangat cinta akan negara dalam diri mereka.
Ibu bapa sebagai tunjang utama keluarga perlu mengambil peranan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja. Ibu bapa perlu membiasakan anak-anak dengan cerita-cerita rakyat tentang sejarah negara Malaysia. Tambahan pula, ini adalah langkah yang mudah untuk kita mendekatkan kanak-kanak dan remaja pada masa kini tentang sejarah-sejarah negara.
Selain itu, pihak sekolah pula adalah landasan yang paling mudah untuk tingkatkan semangat patriotisme dalam diri remaja. Ini kerana, fakta menunjukkan remaja lebih gemar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan. Jadi, di sekolah mereka bersama rakan-rakan menyertai program-program patriotik yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Dengan cara ini, mereka akan lebih minat untuk menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Guru-guru juga perlu memikirkan kaedah bagaimana untuk remaja lebih menghayati matapelajaran sejarah dan bukan sekadar dengan berniat untuk lulus sahaja. Penceritaan tentang pahit getir para pejuang negara pada zaman dahulu dapat mengajar mereka erti bersyukur atas nikmat kemerdekaan.
Media massa terutama televisyen merupakan teknologi yang paling dekat dengan kehidupan remaja sekarang. Pengaruh media massa dalam kehidupan remaja boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang kurangnya sebuah televisyen. Sehubungan dengan itu, media massa wajar dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan remaja memandangkan merekalah golongan yang paling banyak menonton televisyen. Media massa perlu menyiarkan drama drama, lagu, filem dan apa sahaja yang boleh membangkitkan semangat patriotik dalam diri remaja.
Program Latihan Khidmat Negara |
Di samping itu, pihak kerajaan perlu memperkasakan sebarang program yang dapat meningkatkan semangat patriotisme seperti Program Khidmat Negara. Program ini dapat menyedarkan remaja tentang peranan mereka sebagai aset negara dan persediaan yang perlu dilakukan bagi memikul tanggungjawab masalah ini.
Kesimpulannya, semua pihak harus campur tangan dalam meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan remaja pada zaman kini. Bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah dari rebungnya" yang membawa maksud mendidik anak biarlah dari kecil. Jadi, remaja ini harus didedahkan tentang patriotik semasa umur mereka masih kecil lagi.
No comments:
Post a Comment